Memaparkan catatan dengan label wayang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wayang. Papar semua catatan

[Filem] Joker (2019)


Sebelum kakak saya pulang ke Miri, dia menemani saya menonton "Joker". Sememangnya saya menantikan cerita ini, kerana ia dilakonkan oleh Joaquin Pheonix, pelakon yang dikenali sangat menjaga kualiti lakonannya. Ini bukan kisah permulaan watak komik biasa, Joaquin ada kemampuan menjadikannya sebuah hasil seni.

IMDB

[FIlem] Sangkar


kredit kepada koolfm
Baru-baru ini dompet digital Touch n Go ( TnG e-Wallet) mengadakan promosi sepanjang September 2019 hingga September 2020 , iaitu tiket RM10 untuk wayang. Kebetulan pula TGV D'Pulze antara yang terlibat.



Saya menggunakan peluang ini untuk menonton filem Sangkar arahan Kabir Bhatia, pengarah yang juga bertanggungjawab mengarah cerita seram bersiri yang saya gemari Kekasihku Seru.

[Amaran, spoiler dibawah]

Jujur kata, ia antara filem tempatan yang berbaloi untuk ke wayang untuk ditonton. Sangkar merupakan cerita berlatarbelakangkan pertandingan MMA (simboliknya "sangkar" sebagai gelanggang MMA). Kisah ini tertumpu kepada dua watak, Adam dan Johan, dua peserta dengan gaya hidup dan prinsip berbeza, namun ditemukan di gelanggang. 

Adam yang mengamalkan hidup bebas akibat trauma kehidupan masa kecilnya yang sering diperlekehkan dan diejek sebagai anak haram, juga ibu tersayang yang pergi akibat sakit yang melarat. Johan yang menjadi abang sulung dan tonggak kepada dua adiknya, Lea, seorang jururawat, dan Reza, seorang budak lelaki kecil yang terbuka mindanya serta kuat semangat walaupun menghidap  jantung berlubang.
Satu pergaduhan berlaku di kawasan tempat tingggal Johan, di mana kedua-dua Adam dan Johan terlibat secara tidak langsung, dan Adam mengakibatkan kelumpuhan Johan. Dalam menebus kesilapannya, hati Adam mula berlembut dan mula menghadapi konflik emosi yang cuba dilarikan dirinya sebelum ini.

Selain daripada dua watak utama itu, watak-watak sampingan juga memberi kesan yang mendalam. Hal ini adalah kerana garapan cinematography yang hebat. Fokus diutamakan kepada ekspresi muka, babak-babak halus namun realistik seperti Johan 'melepas' di dalam keretapi lalu berasa malu dan kecewa pada diri, serta Adam yang mencuci kekotorannya dan memberi semangat. Perhubungan persahabatan yang kukuh antara Bob dan Johan kelihatan di sini, serta Hafiz dan Lee yang membantu Adam mencuri (tetapi mereka pulangkan semula ya!) katil hospital dan kerusi roda di hospital warga tua.

Tambahan itu, filem ini agak menarik di mana setiap watak yang terlibat dalam MMA yang ditonton awal waktu, mempunyai kehidupan dan kerjaya yang berbeza di luar gelanggang. Sebagai contoh, bookie yang bernama Adi juga bertugas di sebuah restoran. Tidak dikenalpasti sama ada dia pemilik atau sekadar tukang masak (namun dengan gaya dia boleh menyuruh orang menukar pembekal, rasanya dia pemilik juga), mengugut dan menyoal Adam di dapurnya.

Dialog-dialog yang dilontarkan juga adalah secara santai dan bersesuaian dengan watak-watak mereka. Sarkastiknya Adam, tegasnya Johan, ugutnya Adi, jarang kedengaran nada yang melampau-lampau atau terjerit-jerit, mahupun suara mendatar. Mempunyai teladan, namun tidak bersifat mensyarah.

Penceritaannya juga cukup rapat dengan kehidupan seharian, dan tidak terlalu "mendalam" hinggakan penonton marhaen seperti saya keliru (seperti yang sering dilakukan oleh filem-filem "seni").

Pendek kata, filem "Sangkar" ini boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan karya-karya antarabangsa. Hanya tinggal masyarakat kita meninggalkan stigma filem tempatan teruk.