[Tempat] 3 Hari 2 Malam di Bali


Pada bulan October, saya berpeluang pergi bercuti dengan kakak saya ke Bali. Ini merupakan pertama kali kami berdua bercuti bersama. Kami mengambil peluang ini kerana tempat penginapan ditaja oleh Tripfez, maka kami hanya membayar kos penerbangan dan perbelanjaan tambahan di situ.

Di lapangan terbang



Pada hari pertama, kami tiba pada waktu malam di Lapangan Terbang Gusti Ngurah Rai, yang dinamakan sempena seorang pahlawan terkenal di sana, lalu terus dibawa Pak Merta, pemandu pelancong kami di Bali, ke hotel kami di Pop! Hotel Kuta.

Tugu Gusti Ngah Urai. Tidak dapat menagmbil dengan lebih jelas


Sepanjang percutian 3 hari 2 malam kami melawati banyak tempat. Antaranya adalah Rice Terrace Tegalalang di Ubud, Gunung Kintamani untuk makan tengahari, ladang kopi musang atau Luwak Coffee di Cantik Agriculture, dan semestinya berdekatan hotel kami sendiri, Pantai Kuta, Bali.

salah satu tugu di bulatan


Hasil pemerhatian serta ulasan daripada Pak Merta, kami mendapat tahu bahawa hampir 90% penduduk Bali adalah beragama Hindu. Justeru, tidak pelik untuk melihat setiap rumah dihiasi kuil-kuil persendirian. Hasil ukiran mereka juga sangat telus dan halus seninya. Di sini, untuk upacara agama, mereka sering memakai baju berwarna putih tradisional, manakala untuk kematian, mereka akan memakai warna hitam. majlis-majlis perkahwinan akan diadakan di rumah, di kuil persendirian mereka.

salah satu kuil persendirian


perarakan salah satu upacara mereka


Bagi warga Malaysia yang datang melawat, bawalah kad Maybank atau CIMB anda, kerana banyak mesin ATM bank-bank tersebut, terutama sekali sekitar jalan berdekatan Pantai Kuta. 

Dari segi makanan, makanan yang terkenal di sini adalah Babi Guling (Roasted Pork), Lalapan. Turut kelihatan banyak kedai makana India. Sebagai orang Muslim, kami masih mempunyai banyak pilihan. Banyak kedai Muslim yang rata-ratanya masakan orang Jawa dan Padang.

Restoran Kintamani, di mana kami makan tengahari

Pemandangan dari Restoran Kintamani
Sekiranya ingin membeli barang-barang runcit ringan, amat digalakkan untuk membeli di IndoMaret, Circle K Mart. Harga mereka sudah terpapar di rak, maka tiada penipuan berlaku, dan lebih murah berbanding di hotel, lapangan terbang, mahupun pusat-pusat lawatan.

Di sini, kami dinasihati Pak Merta agar berjaga-jaga dengan 'pencopek', iaitu penyeluk saku dan peragut. Alhamdulillah, sepanjang kami berada di sana, tidak ada sebarang kejadian buruk berlaku.

Suasana jalan di sana agak sesak di bandar, namun sekitar Ubud dan ladang kopi, agak segar dengan tumbuh-tumbuhan sepanjang jalan. Barangkali juga kerana ikhtiar Pak Merta memandu di persekitaran kampung. Perjalanan kami juga tidak lekang dengan Pak Merta menceritakan kisah-kisah menarik keluarganya serta Indonesia. 

Pengalaman yang tidak akan saya lupakan di sini adalah pertama sekali saya menaiki buaian tinggi di udara di Tegalalang. Pada awalnya saya berasa amat takut, namun pada buaian kelima, saya sudah mula menikmati ayunannya, seolah-olah terbang tinggi di langit. 

buaian di Rice Terrace Tegalalang

Kemudian, saya dan kakak berkongsi skon ais di Pantai Kuta. Pemandangan matahari terbenam pada waktu itu sangat indah, namun saya gagal menangkapnya menggunakan kamera telefon pintar saya. Tak mengapalah, kebanyakan kenangan indah memang sering berlaku disebalik kamera. 



Selain itu, pengalaman mencuba pelbagai jenis air kopi dan teh dengan perisa yang tidak pernah kami dengari atau rasai di Cantik Agriculture, termasuk Kopi Luwak,adalah satu pengalaman menarik juga. Harus dimaklumkan, mereka tidak mendera musang mereka. Musang-musang tersebut bersifat nocturnal,  di mana mereka tidur di waktu siang dan dibebaskan untuk makan di waktu malam.

biji kakao yang sedang dituai

musang luwak atau civet

tester di Cantik Agriculture
Pada hari kedua ada satu laluan yang ditutup. Keesokannya kami melaluinya dalam perjalanan ke lapangan terbang. Rupanya ada acara peringatan terhadap manga tiga pengeboman yang berlaku pada tahun 2002.

Kami ada juga membeli beberapa buah tangan di sebuah kedai cenderahati, ladang kopi, dan di lapangan terbang. Harus diingati sewaktu berada disana, untuk menyediakan duit tips utk pemandu pelancong, pekerja-pekerja tempat yang dilawati.

Akhir kata, ia merupakan pengalaman yang agak menarik. Percutian ini adalah secara santai sahaja, cukup unutk saya dan kakak menghabiskan masa bersama. ke mana lagi kami seterusnya?

0 comments:

Catat Komen

Sebelum komen, fikir: Adakah ia benar, baik, dan membantu? (Is it true, kind and helpful?)