[Filem] Shamitabh


kredit kepada flicks.co.nz

 Shamitabh adalah sebuah filem Hindustan yang dibawa oleh dua pelakon terkenal Bollywood, Amitabh Bachchan, dan perfileman Tamil, Danush. Saya berpeluang menonton filem ini di TV2 baru-baru ini. 

[Amaran: Spoiler  dibawah]

Ia mengisahkan Daanish, seorang lelaki bisu yang bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon. Masalahnya satu; dia tiada suara. Muncullah Amitabh, yang memiliki nada suara memukau. Menggunakan teknologi, mereka digabungkan lalu terhasillah seorang pelakon terkenal, Shamitabh.

Rasanya tidak perlu beritahu bahawa Danush membawa watak Daanish dan Amitabh Bachchan membawa watak Amitabh. Haha. Konflik bermula apabila Amitabh mula rasa disisihkan dan diperbodohkan. Hal ini menjadi lebih kelihatan apabila mereka tidak sekepala mengenai satu filem yang harus dilakonkan oleh Daanish, di mana Amitabh menunjukkan protes dengan tidak membaca dialog serta mengatakan perkara yang tidak betul. 

Ia mencapai kemuncak apabila mereka berlaga dalam perindustrian filem, di mana Daanish melakonkan watak bisu dalam filemnya, manakala Amitabh menyumbangkan suara untuk seorang pelakon lain dalam filem yang lain, ditayangkan pada hari yang sama. Apabila kedua-dua filem gagal, Akshara menyedarkan mereka bahawa mereka hanya berjaya apabila bergabung. 

Cerita ini berakhir dengan kemalangan sewaktu mereka ingin menghadiri tayangan perdana filem yang dihasilkan Akshara, di mana mereka juga bertujuan untuk membuka rahsia bahawa Amitabh adalah suara sebenar Daanish. Adegan Amitabh menyedari Daanish telah meninggal akibat kemalangan tersebut, tambahan lagi telah dikuburkan dalam tanah kubur yang pada asalnya disediakan untuk Amitabh, amat menyayat hati.

Saya sangat suka lakonan Akshara dalam ini yang agak bersahaja. Amitabh Bachchan dan Danush tidak perlu dipersoalkan lagi. Cerita yang menarik, juga bersifat sinis terhadap perindustrian perfileman mereka, dan mungkin serata dunia.

kredit kepada Amy Wong

[Manga] Beastar: Sifat Manusia, Ciri Haiwan




Sebenarnya, sebelum kemunculan filem "Zootopia", terdapat satu komik Jepun bertajuk Beastar, yang juga mengetengahkan kehidupan manusia yang digambarkan dengan wajah haiwan. Cerita-cerita ini adalah cara halus untuk menampilkan isu rasisme, prejudis dan konflik dalam mencari keharmonian dalam perbezaan baka dan naluri.

[FIlem] Sangkar


kredit kepada koolfm
Baru-baru ini dompet digital Touch n Go ( TnG e-Wallet) mengadakan promosi sepanjang September 2019 hingga September 2020 , iaitu tiket RM10 untuk wayang. Kebetulan pula TGV D'Pulze antara yang terlibat.



Saya menggunakan peluang ini untuk menonton filem Sangkar arahan Kabir Bhatia, pengarah yang juga bertanggungjawab mengarah cerita seram bersiri yang saya gemari Kekasihku Seru.

[Amaran, spoiler dibawah]

Jujur kata, ia antara filem tempatan yang berbaloi untuk ke wayang untuk ditonton. Sangkar merupakan cerita berlatarbelakangkan pertandingan MMA (simboliknya "sangkar" sebagai gelanggang MMA). Kisah ini tertumpu kepada dua watak, Adam dan Johan, dua peserta dengan gaya hidup dan prinsip berbeza, namun ditemukan di gelanggang. 

Adam yang mengamalkan hidup bebas akibat trauma kehidupan masa kecilnya yang sering diperlekehkan dan diejek sebagai anak haram, juga ibu tersayang yang pergi akibat sakit yang melarat. Johan yang menjadi abang sulung dan tonggak kepada dua adiknya, Lea, seorang jururawat, dan Reza, seorang budak lelaki kecil yang terbuka mindanya serta kuat semangat walaupun menghidap  jantung berlubang.
Satu pergaduhan berlaku di kawasan tempat tingggal Johan, di mana kedua-dua Adam dan Johan terlibat secara tidak langsung, dan Adam mengakibatkan kelumpuhan Johan. Dalam menebus kesilapannya, hati Adam mula berlembut dan mula menghadapi konflik emosi yang cuba dilarikan dirinya sebelum ini.

Selain daripada dua watak utama itu, watak-watak sampingan juga memberi kesan yang mendalam. Hal ini adalah kerana garapan cinematography yang hebat. Fokus diutamakan kepada ekspresi muka, babak-babak halus namun realistik seperti Johan 'melepas' di dalam keretapi lalu berasa malu dan kecewa pada diri, serta Adam yang mencuci kekotorannya dan memberi semangat. Perhubungan persahabatan yang kukuh antara Bob dan Johan kelihatan di sini, serta Hafiz dan Lee yang membantu Adam mencuri (tetapi mereka pulangkan semula ya!) katil hospital dan kerusi roda di hospital warga tua.

Tambahan itu, filem ini agak menarik di mana setiap watak yang terlibat dalam MMA yang ditonton awal waktu, mempunyai kehidupan dan kerjaya yang berbeza di luar gelanggang. Sebagai contoh, bookie yang bernama Adi juga bertugas di sebuah restoran. Tidak dikenalpasti sama ada dia pemilik atau sekadar tukang masak (namun dengan gaya dia boleh menyuruh orang menukar pembekal, rasanya dia pemilik juga), mengugut dan menyoal Adam di dapurnya.

Dialog-dialog yang dilontarkan juga adalah secara santai dan bersesuaian dengan watak-watak mereka. Sarkastiknya Adam, tegasnya Johan, ugutnya Adi, jarang kedengaran nada yang melampau-lampau atau terjerit-jerit, mahupun suara mendatar. Mempunyai teladan, namun tidak bersifat mensyarah.

Penceritaannya juga cukup rapat dengan kehidupan seharian, dan tidak terlalu "mendalam" hinggakan penonton marhaen seperti saya keliru (seperti yang sering dilakukan oleh filem-filem "seni").

Pendek kata, filem "Sangkar" ini boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan karya-karya antarabangsa. Hanya tinggal masyarakat kita meninggalkan stigma filem tempatan teruk.

Percubaan Teknik Pomodoro


Menyedari terdapat kesukaran untuk saya menumpukan perhatian dalam mepelajari sesuatu topik, saya kembali merujuk beberapa teknik, antaranya adalah Pomodoro.

Analisa kasar

Teknik Pomodoro yang diperincikan dalam artikel LifeHacker: Productivity 101: An Introduction to The Pomodoro Technique , mempunyai beberapa ciri:

25 minit waktu bekerja x 4 kali = 100 minit
 5 minit waktu berehat kecil x 3 kali = 15 minit
15 - 20 minit berehat panjang x 1 kali = 15-20 minit

Selain itu, teknik ini memerlukan kita untuk mencatit berapa kali keinginan untuk menangguh kerja atau mengubah arah kepada kerja lain (seperti satu gangguan secara sengaja) pada setiap sesi bekerja. Untuk ia benar-benar melekat, ia harus diamalkan dalam 7 ke 20 hari.

Dalam pengiraan, teknik ini mengambil masa 2 jam 10 minit atau 2 jam 15 min.

Saya berfikir, apa yang perlu diubah seandainya kita ingin memastikan masanya dalam lingkungan

2 jam (120 minit)?


20 minit waktu bekerja x 4 kali = 80 minit
 5 minit waktu berehat kecil x 3 kali = 15 minit
15 minit berehat panjang x 1 kali = 15 minit

Jumlah masa  = 110 minit = < 120 minit

Kalau 1 jam pula?


11 minit waktu bekerja x 4 kali = 44 minit
 2 minit waktu berehat kecil x 3 kali = 6 minit
10 minit berehat panjang x 1 kali = 10 minit

Jumlah masa  = 60 minit = 1 jam.


Saya ingin mencuba untuk 1 jam, dan menggunakan Timer sedia ada dengan dalam Clock saya.


Nota Kaki:
Sentiasa memilih untuk memuat-turun aplikasi dari sumber-sumber yang disahkan untuk lebih selamat. Selain itu, jika boleh, pilih aplikasi yang tidak memiliki iklan (atau bayar untuk tidak mempunyai iklan sekiranya aplikasi itu berbaloi), kerana ia mengurangkan risiko tertekan 'link' berbahaya.